aku ingin berkongsikan satu perkara :
Tarbiyyah Para Du’at
dan
Cabaran Yang Menanti Di Hadapan
Cabaran Yang Menanti Di Hadapan
Oleh :
Ustaz Nasharudin bin Mat Isa
Dengan mengambil kisah Nabi Allah Sulaiman AS sebagai contoh, dapatlah kita simpulkan bahawa sesebuah jamaah harakah yang berjaya itu mesti memiliki sifat-sifat berikut:
(i) memiliki ‘ilmu dan tarbiyyah yang sahih;
(ii) matlamat perjuangan yang jelas;
(iii) tanzim yang tersusun kemas;
(iv) manhaj perjuangan yang jelas;
(v) barisan kepemimpinan yang berkeupayaan;
(vi) pengikut yang faham, taat dan istiqamah;
(vii) Disiplin yang tegas untuk ahli di pelbagai peringkat.
Dalam pertembungannya dengan musuh-musuh Islam, jama’ah Islam harus meneliti batas keupayaannya. Harus diingat: kekalahan dalam sesuatu pertembungan boleh ditafsirkan sama ada perencanaan musuh terlalu baik ataupun penyusunan organsiasi kita yang lemah. Dan kelemahan kita dapat berlaku melalui tiga cara :
kelemahan dalaman yang
sangat rumit atau ancaman luar yang terlalu hebat atau barangkali juga
kedua-duanya sekali. Dalam hal ini pimpinan wajib meneliti bersungguh-sungguh
segala permasalahan tanzim Jama’ah.
Pimpinan mestilah
mempunyai keupayaan mengesannya dari peringkat awal lagi dan sekurang-kurangnya
dapat mengawal keadaan. Berdasarkan pengalaman beberapa Jama’ah Islam, adalah
didapati masalah dalaman amat rumit untuk diselesaikan begitu sahaja.
Kepemimpinan yang
bercelaru menyebabkan organisasi lemah dan pengikut tidak dapat dikawal. Dalam
hal ini al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna telah mengingatkan kepada seluruh
anggota Al-Ikhwan apabila beliau berkata:
“Saya tidak bimbangkan keadaan kamu dan ancaman musuh- musuh Islam, tetapi apa yang saya bimbangkan ialah diri kamu sendiri. Saya tidak takutkan ancaman orang orang Inggeris terhadap kamu, atau orang Amerika atau Rusia atau lainnya. Yang saya takutkan ialah kamu melakukan dua perkara:
(a) Kamu mengenepikan Allah, lalu Allah mengenepikan kamu;
(b) Kamu berpecah belah sesama sendiri, maka kamu tidak akan berguna lagi.[1]
Sesungguhnya jalan da’wah itu memang berliku dan tidak pernah dihampar dengan bunga-bunga yang harum, tetapi jalan yang susah dan panjang.[2] Bukankah Allah SWT telah menegaskan sifat segala ujian dan cabaran da’wah itu sendiri :
“Alif…Lam…Mim…. Adakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: “Kami telah beriman” padahal mereka tidak duji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka. Maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan orang-orang yang berdusta.”
(Al-Ankabut: 1–3)
Amatlah penting bagi kita yang berada di atas jalan da’wah ini, memelihara keaslian da’wah, memelihara martabat Islam yang dibawa dan memelihara kesucian nama Jama’ah Islam yang kita anggotai ini supaya kita, Jama’ah dan Islam yang kita bawa ini tidak menjadi bahan ketawa dan fitnah orang lain.
Dalam pertemuan khas di
dalam suatu mu’tamar yang menghimpunkan belia-belia Islam seluruh dunia suatu
ketika dulu, al-Ustadh Mustafa Masyhur telah menggariskan beberapa bentuk
penyelewengan yang dilakukan oleh para du’at dan mujahid da’wah itu sendiri, di
antara lainnya termasuklah:
(i) Menyeleweng dari landasan asal dan kefahaman tentang Islam dan Jama’ah;
(ii) Tidak mengutamakan aspek Tarbiyyah;
(iii) Mendedahkan Jama’ah kepada orang luar;
(iv) Mengenepikan Syura dan nasihat;
(v) Mengutamakan kulit bukan isinya - banyak bertengkar tetapi sedikit kerja;
(vi) Berjalan mengikut kaki tanpa panduan yang sahih;
(g) Cenderung kepada masalah furu’ dan mengenepikan dasar.[3]
Tarbiyyah – Asas Kejayaan Jamaah
Oleh sebab memahami
bahawa jalan da’wah itu amat berliku dan dipenuhi ranjau berduri, maka al-Imam
Hasan al-Banna telah menggariskan rukun-rukun da’wahnya ,
peringkat-peringkatnya di mana Rukun Faham sahaja mempunyai dua puluh (20) buah
huraian daripada sepuluh (10) Rukun Bay’ah
[4] sebagai asas-asas dan dasar fiqh ad-Da’wah yang wajib (dari segi
hukum ‘amal jama’iyy) diikuti oleh setiap mujahid da’wah.
Sesunugguhnya, antara
yang Haq dan batil, ada pertentangannya yang nyata. Ia memerlukan kesabaran dan
ketekunan memikul bebanan yang berat. Ia memerlukan kemurahan hati, pemberian
dan pengorbanan tanpa mengharapkan hasil yang segera tanpa putus asa dan putus
harapan. Yang diperlukan ialah usaha dan kerja yang terus menerus dan hasilnya
terserah kepada Allah pada waktu yang akan ditentukan-Nya.[5]
Sesungguhnya tiada panduan dakwah yang lain, selain panduan yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT di dalam al-Qur’an. Dan tiada jalan dakwah yang lebih sahih daripada jalan yang telah direntasi sendiri oleh baginda Rasulullah SAW yang diperlihatkan daripada sirahnya yang bersih lagi jernih. Di sinilah ilmu dan tarbiyyah memainkan peranan terpenting untuk membentuk insan haraki yang bakal menjadi Jundullah yang bekerja keras untuk jamaah Islam, Parti Islam.
Di dalam sebuah jamaah harakiyyah seperti PAS ini, maka Usrah dan Tamrin merupakan dua bentuk latihan tarbiyyah yang terpenting buat ahli dan kepimpinan PAS di samping majlis- majlis ilmu dan siri ceramah yang diadakan. Semua ahli PAS wajib menghadiri usrah. Di dalam unit usrahlah ahli dididik, permasalahan dirongkai dan terbinalah ukhuwwah yang terikat kuat.
Ahli usrah yang telah
ditarbiyyah oleh para naqib akan bersedia menghadapi perjuangan membina benteng
pertahanan Islam laksana bunyanun marsus yang disebut di dalam al-Quran. Melalui
tamrinlah, latihan dan persediaan digarap sebelum bertempur di medan
pilihanraya.
Usrah sebagai unit tarbiyyah terpenting berperanan mendidik ahli dan menyediakan barisan kepimpinan akan datang. Melaluinya, jamaah dapat:
(i) Mentarbiyyah ahli supaya memiliki rasa tanggungjawab di hadapan Allah SWT;
(ii) Mentarbiyyah ahli supaya sentiasa bermuqabah terhadap Allah SWT;
(iii) Mewujudkan hubungan langsung ahli kepada al-Qur’an dan sunnah Nabi SAW.
Kesemuanya ini akan membentuk perwatakan ahli ke arah beriltizam dengan akhlak al-Qur’an dan menjauhi maksiat. Maka akan berkembanglah unit-unit usrah ini dalam gabungan usrah yang lebih besar di peringkat negeri melaui program bulanan di mana keluarga usrah bertambah besar. Ukhuwwah Islamiyyah yang dipupuk menjadi semakin kukuh dan mantap.
Demikianlah, unit-unit
usrah tadi akan berhimpun pula dalam program tamrin yang diadakan dari masa ke
semasa untuk membentuk dan menyelaraskan fikrah ahli ke arah menuju matlamat
jamaah.
Penutup
Demikianlah pemerkasaan aspek tarbiyyah yang jamaah ingin lahirkan. Jamaah Islam sebagai sebuah organisasi wajib meletakkan al-Qur’an, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas sebagai sumber sahih rujukan dan dasar perjuangan. Amalan syura yang berkesan pula akan membantu pimpinan mengemudi organisasi dengan cekap dan mendapat keredhaan Allah SWT.
Gabungan tenaga di
antara barisan pimpinan yang bijak dan pengikut yang setia di bawah manhaj yang
tersusun kukuh akan menghasilkan natijah yang diharapkan dan bakal melahirkan
Hizbu’Lah yang dinantikan. Sebarang usaha yang dilakukan di luar kaedah-kaedah
tersebut harus ditolak dan tidak dapat diterima sebagai ‘amal-‘amal Islam
kerana bagi Islam, “tujuan tidak menghalalkan cara”.
Hanya dengan sedemikian
Rahmat Allah SWT akan bersama-sama kita dan nun jauh di sana……Janji Allah SWT
menanti kita.
[1]Diungkapkan semula oleh Dr. Yusuf al-Qardawi dalam Harakah Islamiyyah ; Suatu Tuntutan, Shah Alam: KPIITM, 1981, hal. 30-31.
[2]Lihat huraian tentang fiqh ad-Da’wah dalam siri Tariq ad-Da’wah oleh al-Ustadh Mustafa Masyhur, Kuala Lumpur: Pustaka Salam, 1985. Diterbitkan kembali semua siri tulisan tersebut dalam dua jilid yang berasingan dengan judul Min Fiqh ad-Da’wah Mustafa Masyhur Jld. I dan 2.
[3]Kupasan yang mendalam dan amat indah ini telah dihuraikan oleh mujahid da’wah ini dalam tulisannya yang amat penting, Jalan Da’wah: Di antara Keaslian dan Penyelewengan, Kuala Lumpur: Dewan Pustaka Fajar, 1986.
[4]Lihat tulisan-tulisan beliau dalam Majmu’ah al-Rasa’il al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna, Dar ad-Da’wah, 1990.
No comments:
Post a Comment